Tuesday, December 21, 2010

telegram from heart

TELEGRAM FROM HEART

Entah kenapa berat benar dugaan yang perlu aku alami pada ketika ini. Tidak cukup berimankah aku sehingga aku dilanda perasaan kecewa sebegini?
Apa yang tidak sempurna pada diriku? Sembahyangku sempurna lima waktu sehari semalam, quran masih menjadi pendampingku ..
Aku melihat sekeliling, melihat kaum manusia yang masih boleh tertawa gembira,sedang kehidupan mereka lebih jahil daripada aku, tetapi kenapa mereka boleh bergembira? Apakah kegembiraan tidak diukur dengan ibadah kita kepada Allah?
Pulang ke bilik di kolej, mataku tertumpu di meja study. Hadiah pemberian Najihah masih di situ. Tanganku teragak agak untuk mengalihkan kedudukannya. Tapi, hati ini mencegah. Aku tidak ingin dia hilang daripada pemikiranku.
Walaupun kecewa, aku masih menjalani rutinku pada setiap malam, membaca kalam Allah, menghayati tiap bait bait indah yang bisa meluruskan jiwa. Hatiku didatangi kesedihan berganda, Terasa nikmat dengan kasih pencipta.Lupa sebentar pada senyuman dan gelak tawa Najihah. Hatiku dilanda kebahagiaan yang tiada tandingannya. Aku ingin mengalami perasaan ini lebih lama lagi. Helaian demi helaian, aku teruskan dengan tadarus. Aku semakin hanyut dalam dunia yang hanya ada Allah dan Aku.
Titisan air mata ikhlas daripada jiwa ini. Aku senyum sendirian. Baru aku tahu kenapa selama ini aku terlalu mendamba cinta manusia, kerana aku tidak pernah khusyuk dan merasa sempurna dalam mendamba cinta Allah s.w.t. Sedangkan alunan dan kalam cinta Allah itu lebih indah. Selama ini aku tidak sedar semua tu.Aku mendamba kata kata manja dan cinta daripada Najihah. Terasa tidak puas kalau sehari tidak mendengarkan kata kata cinta daripadanya. Meskipun aku masih mengaji pada setiap malam,tapi itu semua hanya kerana rutinku. Entah ke mana fikiran ini melayang bila membaca wasiat yang telah Allah tinggalkan dalam kalam ini..Kadang-kadang tika dan saat membaca Al-Quran,aku terbayangkan senyuman Najihah. Masya Allah,aku meraup muka.
Terjemahan surah Al Taubah ayat 24: yang berbunyi katakanlah  (Wahai Muhammad) : Jika bapa-bapa, anak-anak, saudara, isteri kamu, keluarga kamu, harta kekayaan yang kamu uruskan ,perniagaan yang kamu khuatiri kerugiannya dan rumah-rumah tempat tinggal lebih kamu cintai daripada Allah dan rasulnya dan daripada berjihad di jalaNYA, maka , tunggulah hingga Allah mendatangkan keputusannya.
Berkali kali ayat ini ku baca,kembali aku bermuhasabah, mengenangkan kesilapan diri.
Kerana Najihah, meskipun aku sentiasa solat di awal waktu, tetapi demi menemaninya shopping,aku sanggup  menolak kepentinganku, terkadang aku akan bersolat ketika baki 5 minit lagi untuk menjengah waktu solat yang baru.  Aku langsung lupa pada ajaran Al-Quran,dan Sunnah, aku membiarkan kata hati menjadi telunjukku. Setiap kali bersama Najihah, tangan mulusnya ku genggam kemas. Terasa bangga dapat berdamping cewek cantik sepertinya. Sedang aku terlupa telah dinyatakan dalam satu Hadith bahawa lebih baik kamu mencucukkan sebatang besi di kepalamu daripada memegang tangan seseorang yang bukan mahrammu.  Mulus tangan Najihah membuatku lupa pada perintah Allah. Malah aku bangga melihat golongan Adam yang mencemburuiku.
Benar kata orang , wanita itu hiasan duniawi, sebaik baik wanita adalah wanita solehah. Selama ini, iman ku tergetar dengan kehadiran seorang wanita yang bukan mahramku. Namun begitu, aku menganggap rutinku yang masih membaca Al Quran dan bersolat lima waktu sehari semalam,dapat mencuci dosa dosaku.Aku merasakan imanku sudah teguh. Sedang aku lupa Allah telah berfirman:
Dan janganlah kamu campur adukkan yang hak dengan yang batil dan janganlah
kamu sembunyikan yang hak itu, sedang kamu mengetahui.

(Al-Baqarah ayat 42)


Aku mengetahui tentang kesalahanku tetapi kerana nafsu yang dipandu dengan mata hati ini, aku mengikut telunjuk musuh yang telah berjanji untuk menyesatkan kaum Adam. Aku terpana seketika.Hatiku merintih hiba. Benar, solatku, dan ibadahku dilakukan hanya kerana mahu menutup dosa yang dilakukan. Aku biarkan anugerah akal ini menjadi  dungu. Aku tidak mahu akal mencampuri urusan hati ini. Dalam menyelusuri kekecewaan ini, aku biarkan hati mengiringi tingkahku. Sedang akal ini adalah anugerah daripada Allah untuk kita berfikir. Tidak diciptakan akal kepada binatang kerana  manusia adalah golongan istimewa yang diciptakan oleh Allah untuk menjadi pentadbir alam ini. Namun, ya Allah, tika dan saat diperlukan, aku membiarkan akal ini menjadi bebanan diri sendiri.
Tangisanku menjadi-jadi, bukan kerana kesedihanku berpisah dengan Najihah, tetapi kerana aku sedar cinta duniawi telah membuatku jauh dengan kasih sayang Allah.  
Bagaimana dengan zaujah yang bakal menjadi pendampingku selepas ini?
Aku serahkan pada kuasa Allah s.w.t. Tidak layak rasanya untuk aku mencintai seorang wanita jika hatiku masih belum dapat mencurahkan kasih dan sayang sepenuhnya kepada Allah s.w.t. Ketika bersama Najihah, aku sendirian telah gagal membimbingnya, bagaimana aku ingin membimbing wardah yang lebih indah yang mekar di taman larangan? Adakah selayaknya aku?
Kaum lelaki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita, oleh kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (lelaki) atas sebahagian yang lain (wanita), dan kerana mereka (lelaki) telah menafkahkan sebahagian dari harta mereka".
(An-Nissa':34)

Ini amanah Allah untuk kaum Adam. Membimbing para mujahidah untuk menjadi pendamping di sisi mujahidnya. Masya Allah, indahnya cinta yang berlandaskan Islam. Aku berikrar mulai hari ini, jika aku diketemukan dengan zaujahku, aku ingin membimbingnya mencintai Allah. Aku meneruskan ibadahku dengan istikharah kepada Allah memohon diberi petunjuk agar aku ketemu insan yang mungkin tidak sesempurna Khadijah, semulia Fatimah yang menjadi nadi Saidina Ali, tetapi aku mendambakan wanita yang bisa menjadi ibu kepada anak anakku,suri di hatiku, menjadi peneman di dunia dan akhirat.

”... maka bertawakkallah kepada Allah, sesungguhnya Allah mengasihi orang yang bertawakal kepadaNya. Jika Allah menolong kamu maka, tiada seseorang pun yang boleh menghalang kamu, dan jika ia mengecewakan kamu, maka siapakah yang dapat menolong kamu sesudah Allah (menetapkan demikian) ? dan ingatlah kepada Allah jualah hendaknya orang yang beriman itu berserah diri...” (Ali Imran : 159-160)

Memang benar firman Allah ini, selama ini kerana lupa kepadaNYA, DIA kembalikan diriku kembali kepada landasan yang diredhaiNYA. Kerana kejadian ini aku telah bermuhasabah, memandang dugaan ini sebagai kifarah kepada diriku, yang terkesima dengan nikmat duniawi. Namun begitu, kifarah Allah ini hanyalah satu hukuman secara dasar tetapi hakikatnya adalah satu pentarbiyahan buat diri kita sesama manusia. Wallahuallam.

"Tiada suatu bencana pun yang menimpa di bumi dan (tidak pula) pada dirimu sendiri melainkan telah tertulis dalam kitab (Loh Mahfuzh) sebelum Kami menciptakannya. Sesungguhnya yang demikian itu adalah mudah bagi Allah. (Kami jelaskan yang demikian itu) supaya kamu jangan berdukacita terhadap apa yang luput dari kamu, dan supaya kamu jangan terlalu gembira terhadap apa yang diberikan-Nya kepadamu. Dan Allah tidak menyukai setiap orang yang sombong lagi membanggakan diri.." (al-Hadiid: 22-23)

               

No comments:

Post a Comment